Selasa, 20 Disember 2011

Merawat Sindrom Pasca Taubat

nurulainiseman@2011

“Saya sangat kecewa. Mengapa seorang ustaz gagal solat berjemaah di masjid? Sedangkan saya bersusah payah…” keluh seorang lelaki.
Sedih.
Keluhan yang amat realiti.
Sukar untuk ditelan.
“Kalaulah dia tahu betapa deritanya hidup dalam kejahilan, tentu dia tidak akan bermain alasan untuk hadir ke majlis ilmu” keresahannya berpanjangan.
Keluhan demi keluhan keluar daripada mulut lelaki tersebut. Dalam kesungguhannya memperbaiki diri, dia dirundung rasa duka kerana ‘dunia kebaikan’ yang baru dijenguk itu penuh dengan kekecewaan. Segalanya tidak mencapai jangkaan.
Keresahan ini sering melanda seorang insan yang baru bertaubat. Keinginannya terhadap kebaikan dan kekesalan terhadap masa silam menyebabkan harapannya begitu tinggi untuk melihat yang baik-baik mengelilingi hidupnya. Harapan itulah yang menyumbang kepada rasa kecewa, hingga kata-kata yang keluar dari mulutnya sentiasa berbau duka, murung dan adakalanya bernada kemarahan.
Mungkin dalam perbualan sehariannya.
Mungkin dalam ceramahnya.
Mungkin dalam penulisan.
NASIHAT SHEIKH ABD AL-QADIR AL-JAILANI
“Jangan kamu mendakwa diri menjadi Tuhan. Jangan kamu mendakwa diri menjadi Nabi!” pesan Sheikh Abd al-Qadir al-Jailani kepada muridnya.
Tergamam.
Anak murid yang lama mengaji dengan sheikh itu terkejut dengan nasihat yang diterima.
“Bagaimana mungkin engkau mengandaikan aku boleh membuat dakwaan sebegitu rupa, setelah aku lama menuntut ilmu denganmu?” tanya anak murid itu kepada gurunya.
Lalu Sheikh menceritakan sebuah kisah yang berlaku kepada seorang lelaki soleh di Delhi. Beliau telah menimbulkan kontroversi tatkala mengungkapkan kata-kata yang sungguh luar biasa.
“Engkau bukan Allahku dan aku bukan hambamu!” kata lelaki soleh itu.
Setiap yang mendengar terkejut.
Kata-kata itu sungguh berbunyi kekufuran dan seluruh mereka yang mendengarnya menghukum beliau dengan kufur.
Namun seorang hadirin datang kepada lelaki soleh berkenaan dan bertanya, “mengapakah engkau berkata demikian?”
Lelaki tersebut menjawab, “Nafsuku menyuruh aku berbuat maksiat. Aku berkata kepadanya bahawa engkau bukan Allahku dan aku tidak akan menurut kehendakmu kerana aku bukan hambamu!’
Lalu Sheikh Abd al-Qadir al-Jailani menyambung nasihatnya kepada si anak murid, “Jangan engkau mendakwa dirimu sebagai Allah, tatkala engkau mahukan semua kehendakmu berlaku. Engkau mahu semua yang engkau hajatkan menjadi kenyataan. Ketika engkau mempunyai harapan yang begitu, engkau seperti mendakwa dirimu Tuhan. Kerana hanya Tuhan yang berhak begitu!”
Harapan yang tinggi mesti disertakan dengan sifat kehambaan.
Jangan harapan itu menimbulkan rasa kecewa apabila ia tidak kesampaian, hingga kita terlupa kita hanyalah hamba. Hamba yang boleh berharap, namun segalanya pulang kepada kehendak Tuhan.
“Jangan pula engkau mendakwa dirimu seorang Nabi, yakni tidak kira setinggi mana engkau berusaha mencapai Taqwa dan pembaikan diri, jangan sesekali engkau merasakan dirimu tidak bersalah dan tidak berdosa. Sesungguhnya yang bersih dan terpelihara daripada dosa itu hanyalah seorang Nabi yang maksum.
Oleh itu, tidak kiralah berapa lama engkau telah mendampingi gurumu, jangan sesekali engkau menyangka yang tiada kesilapan yang berlaku pada perjalanan hidupmu hingga engkau terjebak kepada apa yang telah aku nasihatkan kepadamu itu”
Demikianlah nasihat Sheikh Abd al-Qadir Jailani kepada anak muridnya.
Nasihat yang turut perlu dihayati oleh setiap kita yang sedang meniti jambatan Taubat meninggalkan hitam semalam kepada kejernihan esok.
KISAH PENANGKAP ULAR
Harus juga kita tidak lupa kepada kisah yang pernah dinukilkan oleh Maulana Jalaluddin al-Rumi tentang kisah seorang penangkap ular. Di satu musim sejuk, penangkap ular itu memanjat gunung untuk mencari buruannya. Beliau terjumpa dengan banyak ular yang seperti mati dek cuaca yang sejuk. Ular-ular yang berhibernasi itu ditangkap dengan mudah, dimasukkan ke karung dan dibawa turun ke pasar.
Penangkap ular itu mahu menunjukkan kepada orang ramai kepakaran dirinya menangkap pelbagai jenis ular.
Semasa tiba di pasar, tatkala mentari yang bersinar dengan sedikit kepanasan haba yang datang, ular-ular yang tadinya beku seakan mati, hidup, liar dan bertempiaran lari meninggalkan penangkap ular dan menimbulkan ketakutan setiap mereka yang berada di situ.
“Demikianlah nafsu kita. Dengan didikan, ia menjadi jinak, lumpuh, malah membeku. Seperti ular itu tadi. Tetapi nantikan nafsu itu terkena sedikit tempias keenakan dosa dan nikmat dunia, bisa sahaja ia menjadi seperti ular berkenaan” nasihat Maulana Jalaluddin al-Rumi.
Sesungguhnya taubat dan kesedaran kita hanya di satu peringkat kehidupan.
Kita masih berjuang mengejar Husn al-Khatimah.
Bersederhanalah dalam membina harapan.
Agar kecewa dan keluh kesah tidak menjadi bahasa harian.
Banyakkan berdoa, banyakkan berbicara yang positif, banyakkan memberi motivasi.
Bukan untuk sesiapa, lebih kepada diri sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan